LINKS
ARCHIVE
« April 2024 »
S M T W T F S
1 2 3 4 5 6
7 8 9 10 11 12 13
14 15 16 17 18 19 20
21 22 23 24 25 26 27
28 29 30
You are not logged in. Log in
Tuesday, 12 July 2005
SYU'UR PENDIDIKAN ANAK-ANAK
Topic: 4. TARBIYYAH DI RUMAH
Matlamat umum

Firman Allah s.w.t :-

“Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka, yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkanNya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.“
( Surah at Tahrim : 6 )

Matlamat Khusus

Menjadikan anak-anak pemimpin yang beriman dan bertaqwa, seperti firman Allah SWT:

1. “Dan orang-orang yang berkata : Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertaqwa.“
( Surah al Furqaan : 74 )


2. “Dan sesungguhnya aku khuatir terhadap mawaliku sepeninggalku, sedang isteriku adalah seorang yang mandul, maka anugerahilah aku dari sisi Engkau seorang putera yang akan mewarisi aku dan mewarisi sebahagian keluarga Yaakub dan jadikanlah ia, ya Tuhanku, seorang yang diredhai“
(Surah Maryam : 5 – 6)

Tidak semua manusia boleh mencapai matlamat khusus ini. Namun memadailah jika ia dapat mencapai matlamat umum di atas.

Pendidikan keimanan sebagai asas

1. Iman adalah asas pembentukan peribadi dan syakhsiyyah Islamiyyah. Firman Allah s.w.t :-

" Sesungguhnya orang-orang yang beriman hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjihad dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah, mereka itulah orang-orang yang benar ".
(Surah Al Hujurat : 15)

2. Iman adalah asas pembentukan keluarga. Firman Allah s.w.t :-

"Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua saudara kamu dan bertaqwalah kepada Allah, supaya kamu mendapat rahmat".
(Surah Al Hujurat: 10)


Sabda Rasulullah SAW:

(Bermaksud): "Sesiapa yang berkahwin bererti dia telah menyempurnakan sebahagian daripada deennya, maka dia hendaklah bertaqwa dengan sebahagian yang masih tinggal".
Riwayat Thabrani)


3. Iman adalah asas pembangunan fizikal dan harta benda. Firman Allah s.w.t :-

"Maka apakah orang-orang yang mendirikan bangunan di atas dasar taqwa kepada Allah dan keridhaan(Nya), itu yang baik, ataukah orang-orang yang mendirikan bangunannya di tepi jurang yang runtuh, lalu bangunannya itu jatuh bersama-sama dengannya ke dalam neraka Jahanam? Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim".
(Surah At Taubah : 109)


Iman yang perlu dipupuk adalah iman yang bersifat waqi'i dan munazzim.

Justeru itu, selalulah berkata kepada anak-anak :-

"Berimanlah kepada Allah!",
"Ingatlah kepada Allah!",
"Takutlah kepada Allah!",
"Cintalah kepada Allah!",
"Bertaqwalah kepada Allah!".

Selepas itu hubung dan kaitkan iman anak-anak dengan:

1. Amalan harian, syakhsiyyah, akhlak dan ibadah yang mereka dilakukan.

2. Kesudahan hidup manusia di akhirat nanti. Keadaan syurga dan neraka.

3. Sejarah Islam dan contoh-contoh lalu serta pengiktibarannya.

4. Alam dan ciptaan-ciptaan Allah SWT yang sangat hebat.

(Keempat-empat metod ini adalah metod pendidikan yang popular digunakan oleh Al Qur'an).

Ingatlah bahawa iman anak-anak perlu dipupuk supaya ia subur, segar dan kuat. Pada masa yang sama ia juga perlu dipupuk supaya melahir dan menjanakan natijah yang betul. Melahirkan natijah yang betul dalam syakhsiyyah anak-anak adalah suatu `kemahiran' yang perlu dipupuk sejak kecil sepertimana memupuk anak-anak bercakap dengan bahasa yang betul.

Mengajak dengan lembut, menguatkuasakan yang ma'ruf dan menangkis kemungkaran

Firman Allah SWT:

"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada ma'ruf dan mencegah daripada mungkar : mereka itulah orang-orang yang beruntung"
(Surah Ali Imran : 104)

Daripada ayat ini dapat difahami akan:

1. Mengajak kebaikan kebaikan

Mengajak anak-anak kepada kebaikan dilakukan dengan bijaksana, hikmah, lembut dan dengan perasaan kasih sayang.

2. Penguatkuasaan yang ma'ruf

'Penguatkuasaan' yang ma'ruf dalam rumahtangga sering disalahertikan sebagai pendidikan menggunakan rotan dengan tangan-tangan yang kasar lagi keras. Tidak dinafikan, penggunaan rotan juga adalah satu wasilah pendidikan terhadap anak-anak tetapi Islam telah menetapkan bahawa ia adalah wasilah yang terakhir setelah menggunakan pelbagai wasilah yang lain. Itu pun mengikut adab-adab tertentu seperti tidak mencederakan anak-anak, digunakan pada bahagian tertentu, dengan kekuatan tertentu dan dengan bilangan tertentu.

Penguatkuasaan yang ma'ruf dalam rumahtangga berlaku apabila kita menjadikan perkara-perkara ma'ruf seperti solah, adab kepada ibu bapa, adab berpakaian, adab makan, adab belajar dan sebagainya sebagai PERATURAN-PERATURAN dalam rumahtangga. Anak-anak dididik agar ia memahami hakikat peraturan- peraturan itu. Mereka diasuh agar menyedarinya, menghormatinya dan mengikutinya. Anak-anak akan merasai nikmat mengikuti peraturan-peraturan Islam itu apabila selalu dihubungkan dengan iman atau taqwa kepada Allah SWT, sepertimana sering dilakukan oleh Al Qur'an dalam mentarbiyyah generasi awal. Sifat sabar, pema'af dan istimrariah adalah penting dalam hal ini untuk mendapatkan natijah yang tabi'i.

Tugas untuk menghormati dam menegakkan perkara-perkara ma'ruf ini adalah tugas semua anggota isi rumah secara kolektif. Sesungguhnya Islam adalah din yang lengkap dengan pelbagai peraturan untuk kehidupan manusia dalam segala aspek. Mematuhi peraturan Islam di dunia luar yang luas bertitik tolak daripada dunia rumahtangga.

Rumahtangga yang lepas-bebas tanpa peraturan adalah umpama sebuah negara yang ada pemimpin, tetapi tidak ada perlembagaan dan undang-undang.

3. Menangkis kemungkaran

Menangkis kemungkaran adalah satu proses yang perlu berlaku secara berterusan lantaran pada hari ini jahiliyyah menyerang anak-anak secara berterusan melalui pelbagai wasilah dan kesempatan. Setiap kali kemungkaran itu masuk, ia perlu ditangkis dengan cara memberi kefahaman, kesedaran dan mengajak anak-anak untuk meninggalkannya.

Oleh itu kemungkaran tidak boleh dibiarkan menular masuk ke dalam rumahtangga melalui t.v., majalah, radio, video, gambar-gambar dan seumpamanya. Juga tidak boleh dibiarkan masuk melalui salah laku ibu bapa atau pendidik sendiri.

"Kamu adalah bapa atau ibu atau pendidik yang telah diberikan hak oleh Allah dalam lingkungan kamu. Maka kamu boleh menggunakan hak itu dalam konteks ini."

Amalan harian ibu bapa (atau pendidik) (Aplikasi Thuruq At Tarbiyyah)

1. Ibu bapa sebagai mithal 'amali

Sabda Rasulullah SAW:

(Bermaksud):"Sesungguhnya kamu sekelian tidak akan sanggup mempengaruhi manusia dengan hartamu, maka dari itu pengaruhilah mereka dengan wajah yang manis dan akhlak yang baik".


2. Mu'alajah Al 'Uyub

Mengikis 'aib. Anak-anak lahir bersama dorongan kepada kebaikan (taqwa) dan kejahatan (fujur). Oleh itu mereka akan sentiasa terdedah kepada perkara-perkara maksiat.

3. Menghubungkan anak-anak dengan mathal a'la

Anak-anak, sejak kecil sentiasa memerlukan watak sebagai contoh untuk mereka ikuti. Hubungkanlah mereka dengan contoh-contoh dalam sejarah Islam seperti para ambiya', para sahabat, mujahid-mujahid Islam dan sebagainya. Sungguh malang, anak-anak pada hari ini telah dihubungkan dengan pelbagai watak yang merosakkan, dalam media massa yang mereka kagumi dan ikuti.

4. Menghubungkan anak-anak dengan matlamat yang waqi'i

Kemampuan anak-anak adalah berbeza antara satu sama lain. Setiap anak perlu dihubungkan dengan matlamat atau cita-cita yang munasabah dengan kemampuan dan potensi yang ada padanya agar dia tidak kecewa dan bersemangat untuk mencapainya.

5. Melibatkan anak-anak dalam perbincangan dan bertukar-tukar fikiran

Berbincang dan bertukar-tukar fikiran akan menyubur serta menajamkan aqal, mera'i kemerdekaan jiwa dan mewujudkan kemesraan serta jambatan hati yang kukuh antara ibu bapa dan anak-anak.

Tidak Boleh Ditangguh Lagi...

Anak-anak membesar dengan cepat dan pantas. Jahiliyyah pula sedang menyerang dari pelbagai sudut. Fitrah anak-anak begitu rakus menyerap segala pengajaran yang berlaku terhadap mereka. Kita sudah kesuntukan masa. Segeralah mentarbiyyah mereka. Seandainya kita tidak mentarbiyyah mereka atau menangguhkannya, maka pihak lain akan mentarbiyyah mereka.

`Buah' yang akan dipetik pada akhirnya adalah samada anak itu akan menjadi kawan atau menjadi lawan.

Saya Tidak Mampu ! (Antara Cita-Cita Dan Hakikat)

Cita-cita adalah matlamat yang ingin kita capai dalam pendidikan anak-anak. Hakikat pula adalah hakikat kemampuan yang ada pada kita.

Kita perlu perhatikan antara cita-cita dan hakikat. Atau, dengan perkataan lain, antara matlamat yang ingin dicapai dan kemampuan yang ada.

Cita-cita kita dalam pendidikan anak-anak ialah kita ingin melahirkan anak-anak yang memiliki syakhsiyyah yang lengkap dalam segenap sudut samada dari segi keimanan, pemikiran, da'wi mahu pun haraki. Manakala kita lihat pula kepada kemampuan yang ada, maka terdapat jurang yang jauh. Jurang inilah yang memberi peluang kerja dan jihad, agar kita sampai kepada cita-cita tersebut.

Di dalam keadaan kita yang serba kekurangan, maka setiap keinsafan dan keikhlasan untuk berkerja dan menyumbang bagi melahirkan anak-anak yang soleh adalah sangat kita kehendaki, hargai dan kita harapkan diberkati Allah SWT.

Sekurang-kurang kemampuan yang ada pada kita, InsyaAllah kita masih mampu untuk membaca Al Qur'an dan Hadith serta makna-maknanya di hadapan anak-anak. Perlakukanlah ia sekerap mungkin dalam suasana kasih sayang, tanpa rasa jemu atau dengan melawan rasa jemu. InsyaAllah selepas itu kita akan merasai semakin mampu untuk memperkatakan Islam dan mendidik anak-anak dengan Islam.

Kesilapan Yang Dicairkan Oleh Iman Dan Taqwa

Anak-anak dibesarkan oleh tangan-tangan ibu bapa dan para pendidiknya. Tangan manusia adalah tangan yang tidak bebas daripada kesilapan. Mungkin di hari-hari yang lalu kita telah banyak melakukan kesilapan. Mungkin di hari-hari yang lalu kita telah mencederakan jiwa dan pemikiran anak-anak. Maka ubatikanlah kembali dengan iman dan taqwa. InsyaAllah iman dan taqwa akan dapat mencairkan kembali kesilapan yang lalu. Iman dan taqwa dapat menampung kembali kekurangan-kekurangan yang lalu.

Para sahabat awal Rasulullah SAW menerima tarbiyyah Rasulullah setelah umur mereka meningkat dewasa. Mereka telah melalui zaman kanak-kanak yang penuh dengan jahiliyyah. Keunggulan iman dan taqwa telah mengubati sejarah mereka yang hitam.

Hayatilah Firman Allah s.w.t :-

"Hai orang-orang yang beriman, kiranya kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan memberikan kepadamu furqaan dan menghapuskan segala kesalahan-kesalahan mu dan mengampuni (dosa-dosamu). Dan Allah mempunyai kurnia yang besar“
(Surah al Anfaal : 29)

InsyaAllah kita masih lagi belum terlewat.

Ingatlah!

"Wahai manusia, bertaqwalah kepada Rabmu dan takutlah suatu hari yang mana seorang bapa tidak dapat menolong anaknya, dan seorang anak tidak dapat menolong bapanya sedikit pun. Sesungguhnya janji Allah adalah benar maka janganlah sekali-kali kehidupan dunia memperdayakan kamu, dan jangan pula penipu (syaitan) memperdayakan kamu dalam mentaati Allah".
(Surah Luqman : 33)

Posted by koleksi05 at 8:20 PM
Updated: Tuesday, 12 July 2005 8:24 PM
Post Comment | Permalink
Friday, 8 July 2005
PENDIDIKAN BERMANHAJKAN AL QURAN
Topic: 4. TARBIYYAH DI RUMAH
Nilai Kepada Ibu Bapa

Anak-anak merupakan anugerah serta rezeki kurniaan Allah kepada pasangan suami isteri yang secara fitrahnya berhajat dan sentiasa mengharapkan kurniaan ini. Fitrah ini wujud dikalangan muslim mahupun bukan muslim. Walaupun begitu, ibu bapa muslim sangat di tuntut untuk mengetahui dan memahami nilai kurniaan ilahi ini (anak anak) kerana ketidakfahaman dalam perkara ini akan menyebabkan ibu bapa tidak dapat melaksanakan peranan dan tangungjawab ke atas anak-anak malah mungkin mereka tidak memberikan hak-hak asas anak, misalnya kasih sayang dan perhatian yang sewajarnya.

Menurut Akhlaq Hussain "anak-anak yang soleh menjadi sumber ibu-bapa mendapatkan ganjaran di dunia dan di akhirat."

Oleh yang demikian pendidikan anak-anak supaya menjadi muslim soleh adalah satu tanggungjawab deeniyyah, tetapi kegagalan dalam mendidik mereka juga akan membawa akibat yang berat di akhirat, sepertimana yang terdapat di dalam Al-Quran:

"Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka, yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkanNya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan"( Surah at Tahrim : 6 )

Anak-Anak Adalah Generasi Pewaris Da'wah Kita.

Disamping anak-anak perlu dididik dan dibentuk menjadi anak-anak yang soleh, anak-anak juga perlu di proses dengan rapi supaya mereka bersedia untuk memikul tanggungjawab dakwah dan jihad. Anak anak kita adalah pewaris perjuangan yang sedang kita laksanakan hari ini dan mereka di pertanggungjawabkan untuk meneruskan perjuangn suci ini dengan lebih berkesan kerana kesedaran yang telah ada di dalam hati kita. Di atas hajat ini juga Allah menyebutkan doa nabi Zakaria :

"Dan sesungguhnya aku khuatir terhadap mawaliku sepeniggalku, sedang isteriku adalah seorang yang mandul, maka anugerahilah aku dari sisi Engkau seorang putera yang akan mewarisi aku dan mewarisi sebahagian keluarga Yaakub dan jadikanlah ia, Ya Tuhanku seorang yang diredhai"
( Surah Maryam : 5-6 )

Oleh itu perlulah kita bertanya kepada diri kita sendiri adakah kita peka atau prihatin dengan tanggungjawab pendidikan anak-anak kita? Jika kita peka, adakah kepekaan ini telah membuahkan perancangan untuk melaksanakan pendidikan yang berkesan? Persiapan apakah yang telah kita buat ke atas diri kita bagi melaksanakan tuntutan yang sangat besar ini, iaitu mendidik anak-anak kita?

Sistem Pendidikan Yang Sedang Berjalan.

Kita sudahpun maklumi bahawa sistem yang berjalan, yang menguasai kehidupan kita adalah sistem bukan Islam. Sistem ini telah lama di ambil untuk menggantikan Islam sebagai sistem hidup. Sistem ini menguasai segala aspek kehidupan kita dan meninggalkan kesan yang mendalam ke atas jiwa dan syakhsiah kita. Sistem yang tiada sebarang hubungkaitnya dengan aqidah dan keimanan kita. Sistem ini terlalu asing bagi kita kerana ia tidak tumbuh seperti aqidah Islam. Oleh itu sistem pendidikan yang dibangunkan dari sistem ini sudah pasti bukan sistem pendidikan yang boleh menyampaikan kita kepada matlamat Islam. Walaupun Islam di ajarkan sebagai sebahagian dari sistem pendidikan ini tetapi untuk menghasilkan natijah yang dikehendaki oleh sistem ini bukan natijah sistem Islam. Sekiranya anak-anak kita hanya menerima pendidikan mereka dari sistem ini semata mata ataupun dilengkapi atau disempurnakan dengan ajaran-ajaran Islam sudah boleh ditentukan bahawa anak-anak ini tidak mungkin dapat menjadi muslim yag sebenarnya dan tidak akan mampu (mungkin tidak mahu) untuk memikul tanggungjawab dakwah. Banyak unsur-unsur yang terdapat di dalam sistem pendidikan sekular ini bukan sekadar tidak dapat membentuk keimanan mereka dan menyuburkannya sebaliknya unsur-unsur ini akan memudharatkan keimanan mereka, apa yang di ajar banyak menimbulkan keraguan bukannya keyakinan di dalam hati anak-anak kita yang akan menjadikan mereka muslim yang keliru ataupun yang paling baik natijahnya ialah muslim yang tidak memahami serta menghayati Islam dalam bentuknya yang asli,yang syamil dan kamil serta mutawazzin.

Perlu diingatkan disini kita bukan sekadar membicarakan sistem pendidikan yang formal di sekolah-sekolah sahaja, tetapi kita lebih perlu peka kepada sistem pendidikan yang sedang menguasai anak-anak kita. Ianya adalah persoalan yang berkait dengan sistem kehidupan itu sendiri iaitu pendidikan di rumah, di tadika, di sekolah, di universiti dan di semua tempat pendidikan yang dijalankan.

Hakikat Dan Sifat Deen Islam.

Sebelum kita membicarakan dengan lebih lanjut tentang pendidikan Islam yang merupakan pendidikan yang hakiki ,adalah lebih wajar untuk kita lebih memahami hakikat dan sifat deen ini. Islam adalah ciptaan Allah swt dan didatangkan dari Allah SWT kepada hambanya melalui Rasullullah SAW . Islam diturunkan dengan lengkap dan sempurna dan telah direalisasikan kesempurnaannya serta dihayati oleh Rasullullah dan generasi yang pertama, samaada penghayatan di dalam kehidupan individu mahupum kehidupan berjemaah.

Sekiranya kesempurnaan Islam dan hakikat menyeluruhnya diyakini tanpa sebarang ragu-ragu dan was-was ,maka dimanakah ruang untuk sesiapa menokok tambah atau mengurangkan walaupun satu juzuk dariada deen Allah ini? Oleh itu apakah logiknya masyarakat Islam muttakhir ini meminjam berbagai sistem utuk kehidupannya. Lebih-lebih lagi sistem pendidikan yang merpakan acuan generasi yang akan datang sedangkan dalam sistem pendidikan yang terbukti mampu menghasilkan natijah yang dihajati.


Pendidikan Islam : Penjelamaan Kesempurnaan dan Penyeluruhan Deen Islam.

Pendidikan Islam yang bercorak masyarakat bukanlah sistem pendidikan yang berasakan sesuatu yang asing daripada Islam. yang diimport dari barat, yang telah disempurnakan dengan memasukkan beberapa unsur Islam ke dalamnya (kerana sebagi contohnya sistem yang ada ini ketandusan aspek-aspek rohani mahupun akhlak)

Suatu sistem pendidikan itu hanya dapat di anggap sebagai sistem pendidikan islam apabila segala prinsip, kepercayaan, serta kandunganya berasaskan sistem Islam. Pendidikan Islam yang terdapat di dalam Al quran adalah pendidikan yang menyeluruh." Yang tidak terbatas kepada masjid atau institusi pendidikan sahaja,tidak terbatas kepada ibadat dan melupakan tingkahlaku atau memberatkan individu dan melupakan amal tetapi meliputi segala aspek manusia dan bergerak dalam segala bidang kehidupan.

Pengertian Dan Matlamat Pendidikan Islam.

Matlamat pendidikan Islam yang utama ialah untuk membawa manusia mengenali Rabb nya seperti yang dinyatakan oleh Allah SWT di dalam AL Quran dan diajarkan oleh Rasullullah sehingga melahirkan Pengabdian sepenuhnya hanyasanya kepada Allah semata mata ,melaksanakan segala yang diperintahkan dan berusaha mencegah dan meninggalkan segala yang dilarang dengan penuh redha.

Dasar Pendidikan Islam
Al-Quran adalah asas pendidikan Islam dan teras sistem pendidikan anak-anak ini adalah hakikat Tauhid Allah di dalam jiwa anak-anak. Di dalam al quran dan sunah Rasullullah terdapat metodologi untuk mendidik manusia dan telah terbukti keberkesanan metodologi itu di dalam kehidupan generasi awal. Ini adalah kerana jiwa manusia itu umpama satu peti yang berkunci rapat. Memahami jiwa ini adalah rahsia kejayaan mendidik manusia kerana pendidikan yang berbicara membawa perubahan yang menyeluruh dalam dirinya adalah pendidikan yang berbicara dengan jiwa ini. Hanya pendidikan Islam sahaja mempunyai metodologi yang terdapat di dalam Al quran yang mampu merawat jiwa ini.

Aspek Aspek Pendidikan Berasaskan Al Quran.
Pendidikan Islam bolen dibahagikan kepada beberapa aspek yang merangkumi seluruh fakulti hidup manusia.Aspek aspek tersebut antaranya ialah :

a) pendidikan keimanan.
b) pendidikan akhlak.
c) pendidikan aqal
d) pendidikan rohani.
e) pendidikan jasmani.


Metodologi pendidikan al quran pula merangkumi:

a) metodologi fitrah
b) metodologi ilmu
c) metodologi pemikiran
d) metodologi akhlak
e) metodologi ibadah
f) metodologi dakwah dan pendakwah.

Ibnu Khaldun telah mengingatkan kita bahawa di dalam al quran itu terdapat asas asas semua pengajaran pada segala dasar pendidikan di rantau negara negara islam ,kerana ia adalah syiar deen yang membawa kepada ketetapan aqidah dan kemantapan iman.

Pendidikan Keimanan Sebagai Asas Pendidikan Anak-Anak.

Pendidikan keimanan bermaksud "memperkenalkan anak-anak sejak dari ianya beraqal dengan unsur unsur keimanan ,membiasakannya dengan Rukun-rukun Islam serta mendidiknya Prinsip prinsip syarat yang mulia sejak dari usia tamyiz lagi".

Apa yang dimaksudkan dengan unsur-unsur keimanan ialah semua yang telah sabit kebenarannya daripada berita-berita dan hakikat-hakikat keimanan dan perkara perkara yang ghaib seperti beriman kepada Allah, Malaikatnya, kitab-kitabnya yang telah diturunkan daripada langit, beriman dengan para rasul dan dengan semua rukun-rukun iman yang lain.

Alam Sebagai Kitab Terbuka

Oleh yang demikian pendidikan anak-anak di peringkat paling awal ialah untuk membina serta mengukuhkan keimanannya. Ini dapat dilakukan dengan mendekatkan anak-anak dengan alam yang terbentang luas yang merupakan Kitab yang terbuka untuk kita mengenalkan anak anak kita kepada penciptanya. Pendekatan ini bukanlah satu pendekatan yang baru kerana sekiranya kita membuka dan mengkaji Al quran terutama sekali surah surah makiyyah kita akan dapati bahawa Allah Swt telah memperkenalkan Dirinya dengan mengalihkan pandangan manusia dari memandang kepada kehidupan ini dengan hati yang kosong, kepada memandang alam sekelilingnya dengan penuh kekaguman sehingga membuahkan penyerahan dan pengabdian yang total kepada Allah Rabbul alamin.

Kita pada hari ni bukan sahaja dapat mendedahkan anak-anak kita kepada yang ada disekeliling mereka ,tetapi dengan bantuan alat-alat audio visual yang canggih kita dapat mempamerkan kepada mereka kehebatan kuasa Allah sebagai Pencipta Pentadbir dan Penguasa alam ini.

Oleh itu apa yang perlu adalah perancangan kreatif kita untuk meransang setiap falkuti anak-anak kita dalam menanamkan hakikat Tauhid tanpa menjemukan mereka di dalam proses pendidikan mereka.terutama sekali pendidikan keimanan.

Masalah Perlaksanaan Pendidikan Jangka Pendek.

Permasalahan anak-anak telah memasuki satu fasa yang baru apabila ibu bapa di dalam keghairahan menyediakan anak-anak untuk memasuki alam pendidikan telah terperangkap di dalam pendekatan yang dianggap Islamik tetapi pada pandangan syara? tidak memenuhi sepenuhnya hakikat pendidikan Islam.

Pada akhir-akhir ini kita banyak ibu bapa mahupun institusi pendidikan anak-anak mendidik anak-anak dengan mengasaskan pendekatan yang diilhamkan di dunia barat. Walaupun sebahagian dari pendekatan ini telah diubahsuaikan di mana yang perlu, tetapi pada dasarnya pendekatan ini tetap bukannya sistem Islam. Sekiranya kita menganalisa sistem-sistem pendidikan ini kita akan sampai ke satu kesimpulan bahawa seluruh sistem pendidikan ini tiada hubungkaitnya dengan hakikat Rabbaniyyah . Sistem-sistem ini dari falsafahnya, objektifnya mahupun natijahnya yang diharapkan adalah sangat berbeza dengan hakikat pendidikan pendidikan di dalam tasawwur Islam. Sistem pendidikan dari barat ini mungkin mampu untuk menghasilkan anak-anak yang pintar cerdas dam merealisasikan potensi aqli dan jasmani mereka dan ini sememangnya matlamat pendidikan mereka. Walaupun penekanan moral diberikan ruang di dalam sistem ini tetapi sistem moral bukan Islam sudah pasti tidak mampu menghasilkan sistem moral Islam. Walaupun kita berusaha menempelkan kekurangannya dengan menggabungkan unsur-unsur Islam di dalamnya.

Ulama' Iqbal pernah mencatatkan bahawa sistem pendidikan barat mampu membawa anak-anak kita mengagumi dan mempelajari kemajuan dan teknologi ,tetapi ia tidak mampu untuk mendidik hati merka supaya takut hanya kepada Penciptanya.

Disana terdapat satu jurang perbezaan yang besar diantara mengambil atau meniru kaedah pengajaran dan pembelajaran dengan mengambil pendekatan tokoh tokonh dari barat dengan mengambil istem pendidikannya. Saya berpendapat bahawa untuk kita memanfaatkan kajian-kajian yang telah dijalankan oleh sesiapapun mengenai kaedah-kaedah pendidikan atau teknik-teknik menguasai sesuatu kemahiran yang berkesan merupakan satu yang sangat baik. Ini berdasarkan Hadis Rasulullah SAW :

(bermaksud ) "Hikmah itu barang mukmin yang tercicir,barang siapa yang menjumpainya maka dialah yang berhak ke atasnya."

Oleh itu kajian-kajian mereka ini boleh dan sewajarnya kita manfaatkan terutama sekali di dalam bidang kemahiran seperti membaca, menulis, mengira dan sebagainya. Begitu juga di dalam kajian mereka mengenai teknik berfikir dan pembangunan jasmani. Apa yan dibimbangkan ialah kita mengambil keseluruhan sistem pendidikan yang mereka kemukakan kerana ini adalah suatu yang merosakkan. Ini adalah kerana matlamat dan falsafah pendidikan mereka tidak berasaskan tauhid dan keimanan. Ini hanya yang menghasilkan anak-anak yang pintar tetapi jiwa mereka tetap kosong, yang lebih membimbangkan ialah lahir nya tasawur yang terpisah diantara aspek kerohanian dan moral dengan aspek-aspek pendidikan yang lain. Pendekatan golongan Muslim yang ikhlas yang berpegang kepada sistem barat tetapi mereka menyedari kekurangan sistem ini dan cuba untuk memperbaiki keadaan ini dengan memasukkan unsur-unsur Islam juga tidak banyak membantu malah akan lebih mengelirukan masyarakat Islam. Langkah langkah ini tidak jauh bezanya dengan pendekatan pendidikan sekular hari ini.

Cabaran Dan Permasalahan Dalam Pendidikan Anak Anak.

Perlu disedari bahawa di sana terdapat satu jurang yang sangat jauh diantara memahami ilmu realiti yang ada hari ini dengan peringkat perlaksanaan tersebut. Asy-Syahid Imam Hassan Al Banna telah menggariskan bahawa keberkesanan pendidikan Islam bergantung kepada tiga faktor iaitu :-

a) manhaj yang sahih.
b) murabbi yang berkemampuan.
c) suasana persekitaran yang soleh.

Perlaksanaan pendidikan anak-anak secara individu dirumah ataupun sebagai suatu institusi menghadapi pelbagai cabaran . Di antaranya ialah:

Masalah yang paling utama ialah masalah menyediakan satu manhaj pendidikan yang sesuai mengikut peringkat umur anak-anak dan menyediakan modul-modul pendidikan yang praktikal yang dibangunkan berasaskan sumber-sumber rujukkan yang muktabar. Walaupun pada masa ini Al- Quran masih ditangan kita ,begitu juga dengan hadis-hadis Rasullullah SAW serta kajian para ulama', kita masih perlu menyusun segala objektif ,kandungan pendidikan serta cara atau pendekatan perlaksanaanya. Objektif serta kandungan pendidikan ini bukanlah masalah yang sangat besar,tetapi saya merasakan bahawa apa yang lebih sukar ialah menyediakan modul-modul perlaksanaan pendidikan yang bersepadu terdapat di dalamnya

a)Pendidikan hati anak anak dengan hakikat Tauhid serta rukun rukun keimanan
b)Pendidikan ubudiyyah dan peribadatan
c)Pendidikan Akhlak
d)Pendidikan sirah Rasulullah
e)Pendidikan AL Quran (bukan setakat membaca, tetapi pendidikan yang membuahkan kecintaan kepada Al Quran dan meyakininya)
f)dan aspek pendidikan yang lain

Ini masih agak sukar ketika anak anak itu masih muda dan mereka mudah bosan.

Pelaksanaan pendidikan Islam juga menghadapi cabaran yang tidak kurang besar iaitu ketiadaan suasana dan contoh teladan yang boleh menyuburkan proses pendidikan tersebut. Ini adalah kerana para ibu bapa sendiri tidak pernah melalui proses pendidikan Islam yang sebenarnya dengan berkesan. Oleh itu ibubapa sewajarnya lebih serius untuk melalui tarbiyyah diri supaya pendidikan yang paling berkesan kepada anak-anak ,iaitu qudwah hasanah yang hidup dapat berjalan setiap masa dalam kehidupan anak-anak kita.


Posted by koleksi05 at 8:22 PM
Updated: Friday, 8 July 2005 8:38 PM
Post Comment | Permalink

Newer | Latest | Older