LINKS
ARCHIVE
« July 2005 »
S M T W T F S
1 2
3 4 5 6 7 8 9
10 11 12 13 14 15 16
17 18 19 20 21 22 23
24 25 26 27 28 29 30
31
You are not logged in. Log in
Saturday, 9 July 2005
MENGAMBIL DIDIKAN DARIPADA SUNNAH DAN SIRAH
Topic: 8. SIRAH
Kita tidak bermaksud untuk menceritakan sejarah Rasulullah s.a.w sejak hari lahir baginda hingga kewafatan baginda. Cuma kita hendak mengetahui bagaimana caranya kita hendak mengambil didikan dari perjalanan hidup Rasulullah s.a.w bersama Madrasah baginda.

Persoalan yang besar yang kita hadapi ialah persoalan amali (praktik) nya segala ajaran yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w di dalam seluruh bidang kehidupan kita.

Fikrah Islam atau ajaran Islam telah terdapat di dalam al Quran al Karim dan as Sunnah an Nabawiyyah serta sirah Rasulullah s.a.w. Ajaran tersebut tidak membawa ertinya sekiranya tidak dijelmakan dalam amalan seseorang, prinsip-prinsip sahaja tidak hidup melainkan diterapkan di dalam amalan hidup ini. Kerana itu kita dapati dalam sirah Rasulullah s.a.w, baginda meletakkan haluan utama baginda dalam membentuk rijal (para pendokong) Islam dan tidak semata-mata berkhutbah . Baginda mendidik Jamaah Sahabah. Baginda membina ummah bukan membangunkan falsafah. Baginda berjaya dalam mendidik, sehingga Generasi Sahabat itu lahir dalam bentuk amali (praktik) hidup. Generasi yang telah terdidik itulah yang dikeluarkan ke tengah masyarakat manusia yang menghuraikan dengan amalan (perbuatan) mereka Islam yang sebenarnya.

Islam tidak hanya mengemukakan teori semata-mata dalam membentuk keperibadian Muslim tetapi ia membawa mereka ke jalan yang praktik (amali). Rasulullah s.a.w tidak semata-mata mendidik atau mengasuh para sahabat baginda di rumah Arqam bin Abi Al Arqam, tetapi baginda membawa jamaah sahabat itu keluar bersama-sama baginda mencabar segala fikiran dan kepercayaan masyarakat ketika itu. Akhirnya mereka menghadapi tentangan hebat ari masyarakat yang mengamalkan cara hidup Jahiliyyah.

Tujuan utama, yang pertama dan terakhir mereka ialah untuk memberitahu masyarakat umum bahawa pengabdian diri hanya kepada Allah s.w.t semata-mata, tunduk dan patuh kepada kekuasaan dan pemerintahan Nya sahaja. Dunia ini menjadi kerdil pada pandangan mereka. Mereka tidak terpedaya dengan keindahan dan kemewahan dunia. Hinggakan pihak musuh menganggap bahawa mereka adalah satu kaum yang lebih cintakan mati daripada hidup dan lebih suka kepada sifat merendah diri daripada angkuh dan sombong. Mereka tidak tamak kepada kemewahan duniawi.

Sebagai contohnya, telah disebut di dalam sirah bahawa Mus’ab bin ‘Umair adalah anak tunggal kepada ibunya yang mempunyai kekayaan dan kedudukan tinggi. Setiap anak gadis berangan-angan hendak menjadi isteri atau sebagai teman hidup beliau. Setelah Mus’ab memeluk Islam, ibunya telah mengugut untuk mengharamkan beliau dari mengambil harta kekayaannya, tetapi ugutan itu tidak dihiraukan. Kemudian ibunya bersumpah untuk tidak menjamah segala makanan selagi Mus’ab tidak meninggalkan ajaran Islam yang telah menjadi anutannya. Namun keImanan dan keazaman Mus’ab kian bertambah kuat seraya berkata kepada ibunya : “ Demi Allah Wahai ibuku, sekiranya ibu mempunyai seratus nyawa yang keluar daripada ibu satu demi satu, aku tetap tidak akan meninggalkan ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w.“

Sirah Hijrah Rasulullah s.a.w ke Madinah al Munawwarah adalah satu lagi siri dari siri pembentukan perwatakan dan keperibadian Muslim secara praktik dalam kehidupan Ummah Islamiyyah. Mereka terpaksa meninggalkan harta benda dan kampung halaman mereka. Kalau difikirkan sepintas lalu sahaja atau dipandang pada zahir semata-mata, bererti akan tergendala segala kerja, rugilah perniagaan dan terpisahlah dari sanak saudara serta keluarga. Namun demikian orang-orang Islam yang menyahut seruan Hijrah itu telah sanggup mengorbankan segala kepentingan dan harta benda yang disayangi demi mengikut Rasulullah s.a.w dan demi menunaikan perintah Allah s.w.t.

Diriwayatkan di dalam sirah bahawa Suhaib ar Rumi ketika di dalam perjalanan ke Madinah, telah disekat oleh beberapa orang kafir Quraisy. Mereka berkata kepadanya : Sesungguhnya engkau dahulu telah datang kepada kami (ke Makkah) selaku seorang yang miskin. Kemudian harta kamu bertambah di tempat kami ini sehingga engkau menjadi kaya raya kini. Kemudian engkau hendak membawa bersama-sama hartamu pergi dari sini. Demi sesungguhnya ini tidak boleh. Maka ditanya oleh Suhaib : Apa kata jika aku pulangkan harta bendaku ini kepada kamu semua, Adakah kamu membenarkan aku pergi ?. Jawab mereka : Ya. Maka kata Suhaib : Sekarang ambillah harta bendaku ini untuk kamu. Apabila berita peristiwa ini telah sampai ke pengetahuan Rasulullah s.a.w, maka baginda bersabda yang bermaksud : Telah beruntunglah Suhaib, telah beruntunglah Suhaib.

Peristiwa-peristiwa tersebut adalah menggambarkan kepada kita satu Tarbiyyah ‘Amaliyyah (didikan yang praktis) yang lahir daripada didikan di Madrasah Rasulullah s.a.w.

Bagi melahirkan natijah-natijah amali Islam tersebut maka perlu kepada satu keyakinan (keImanan) yang mendalam terhadap Rasulullah s.a.w dan apa yang dibawa oleh baginda (disamping keImanan kepada Allah s.w.t). Ucapan dua kalimah syahadah itu tidak semata-mata pengakuan dibibir sahaja. Bahkan mesti lahir daripada hati yang yakin dan sedar. Sebenarnya ucapan dua kalimah syahadah itu adalah Bai’ah (janji setia kita bahawa) Tiada Ilah yang disembah melainkan Allah s.w.t dan Nabi Muhammad s.a.w itu adalah pesuruh Allah s.w.t.

Perlu ada keyakinan bahawa Allah s.w.t adalah Pencipta alam, Penggubal undang-undang, peraturan-peraturan, syar’iat. SistemNya sahaja yang perlu dipatuhi dan kepadaNya sahaja perlu diperhambakan. Perlu meyakini bahawa Nabi Muhammad s.a.w itu adalah diutuskan oleh Allah s.w.t bagi melaksanakan perintah-perintah Nya, memimpin seluruh manusia ini menurut arahan-arahan Allah s.w.t. Perjalanan hidup Rasulullah s.a.w itu menjadi contoh yang baik serta model utama bagi seluruh alam ini, pimpinan dan sistem yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w itu bukan rekaan menurut hawa nafsu tetapi mendapat pertunjuk Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t :-

“ dan tiadalah yang diucapkan itu (al Quran) menurut kemahuan hawa nafsunya. Ucapan itu tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya) “
(Surah an Najm : 3-4)

Banyak ayat-ayat al Quran al Karim yang memerintahkan kita dan para Mu’minin agar mematuhi dan mentaati Rasulullah s.a.w , sebagai natijah daripada ikrar ketaatan kita kepada baginda. Antara firman-firman Allah s.w.t :-

“ Katakanlah : Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. “
(Surah ali ‘Imran : 31)

“ Barangsiapa yuang mentaati Rasul itu, sesungguhnya ia telah mentaati Allah. Dan barangsiapa yang berpaling (dari ketaatan itu), maka Kami tidak m engutusmu untuk menjadi pemelihara bagi mereka. “
(Surah an Nisaa’ : 80)

“Apa sahaja harta rampasan (fa-I) yang diberikan Allah kepada Rasul Nya yang berasas dari penduduk kota-kota maka adalah untuk Allah, Rasul, kerabat Rasul, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang dalam perjalanan, supaya harta itu jangan hanya beredar di antara orang-orang kaya sahaja di antara kamu. Apa yang diberikan Rasul kepadamu maka terimalah dia. Dan apa yang dilarangnya bagimu maka tinggalkanlah dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah sangat keras hukuman Nya.“
(Surah al Hasyr : 7)

Setiap Mu’min diwajibkan mencintai Rasulullah s.a.w sehingga baginda pernah bersabda ;-
Bermaksud : “Tidak sempurna Iman seseorang kamu sehingga ia menjadikan aku lebih dicintai dari dirinya, anaknya, hartanya dan manusia seluruhnya“
Menurut hadith ini ternyata bahawa cinta yang sebenarnya terletak kepada keikhlasan mematuhi apa yang disukai oleh Rasulullah s.a.w dan mematuhi apa yang tidak disukai oleh baginda.

Begitu juga kita, orang Mu’min , diwajibkan menghormati Rasulullah s.a.w seperti yang diisyaratkan olah Allah s.w.t di dalam al Quran al Karim :

“ Janganlah kamu jadikan panggilan Rasul di antara kamu seperti panggilan sebahagian kamu kepada sebahagian (yang lain). Sesungguhnya Allah telah mengetahui orang-orang yang beransur-ansur pergi di antara kamu dengan berlindung (kepada kawannya), maka hendaklah orang-orang yang menyalahi perintah Rasul takut akan ditimpa cubaan atau ditimpa azab yang pedih. “
(Surah an Nuur : 63)

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mendahului Allah dan Rasul Nya dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu meninggikan suaramu lebih dari suara Nabi, dan janganlah kamu berkata kepadanya dengan suara keras sebagaimana kerasnya (suara) sebahagian kamu terhadap sebahagian yang lain, supaya tidak hapus (pahala) amalanmu sedangkan kamu tidak menyedari. Sesungguhnya orang-orang yang merendahkan suaranya di sisi Rasulullah , mereka itulah orang-orang yang telah diuji hati mereka oleh Allah untuk bertaqwa. Bagi mereka ampunan dan pahala yang besar.“
(Surah al Hujuraat : 1-3)

Menghormati Rasulullah s.a.w bukan sahaja semasa ada hayat baginda, bahkan selepas wafat baginda juga kita mesti bersopan dengan Rasulullah s.a.w. Kerana itu dikala mana kita membaca atau mendengar hadith-hadith Rasulullah s.a.w, kita wajib meyakini hadith atau sunnah tersebut. Kita dikehendaki mendengar dengan cara bersungguh-sungguh, penuh perhatian, penuh kefahaman serta bersedia untuk mengamalkan dan melaksanakannya sepertimana arahan-arahan yang telah disampaikan oleh Rasulullah s.a.w sendiri.

Hendaklah kita menyedari bahawa al Quran al Karim dan as Sunnah Rasulullah s.a.w itu mempunyai peranan untuk mengawal, menjaga, memelihara fitrah, kesucian manusia ciptaan Allah s.w.t. Oleh itu kita wajib membimbing dan mendidik fitrah kita supaya tetap dalam keadaan suci dan bersih (Fitrah Salimah). Caranya ialah dididik dan disirami dengan ajaran al Quran al Karim dan dibajai dengan as Sunnah an Nabawiyyah Rasulullah s.a.w. Firman Allah s.w.t :-

“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharapkan (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.“
(Surah al Ahzab : 21)

Posted by koleksi05 at 9:07 AM
Post Comment | Permalink

View Latest Entries